Search This Blog

Thursday, March 3, 2011

Bangga jadi Melayu.,syukur dilahirkan ISLAM.

    Saya orang Melayu,juga Islam. Mengapa saya bangga menjadi seorang Melayu? Jawapannya mudah, adab Melayu yang terkenal dengan lemah lembutnya, hormat-menghormati antara satu sama lain, pemakaiannya juga menutup aurat. Anda setuju? Ini bermakna, ada budaya Melayu yang kena pada syariat Islam. Maka saya bangga menjadi seorang Melayu. Masyarakat Melayu, termasuk saya menggunakan baju Melayu ketika menunaikan solat. Ini bermaksud budaya Melayu itu tidak salah selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Tetapi sekiranya berlawanan dengan hukum Islam, adalah wajib untuk tidak mengamalkannya. Mengapa begitu? Adakah itu pendapat peribadi saya, sudah tentu tidak jawapannya.
Persoalan ini mampu dijawab dengan mudah melalui penggunaan buku teks teragung di dunia, juga rujukan seluruh manusia di dunia ini.
   
   Buku teks tersebut adalah Al-Quran nur Karim. Tapi ingat, Al Quran bukan semata-mata untuk kegunaan orang Melayu. Ia cukup sempurna pada semua kaum atau bangsa yang lain yang wujud di dunia ini. Bukan saya kata, Al Quran kata, Nabi Muhammad s.a.w pun berkata. Tok Guru Nik Aziz juga mengatakan perkara yang sama.
  
    Al Quran menceritakan setiap sesuatu yang terjadi. Ia juga pembawa rahmat. Al Quran memberi petunjuk, seperti mana kita memandu kereta berpandukan sistem GPS untuk mencari jalan ke destinasi yang diingini dan betul. Yang diingini itu kehendak kita, yang betul itu destinasi yang tertulis di dalam Al Quran iaitu Syurga. Semua orang mahukan Syurga tetapi tidak menggunakan Al Quran sebagai penunjuk arah. Sekiranya kita memandu tanpa mengikut arah yang betul, alamatnya sesat jalan lah kita. Begitu juga dengan hidup ini, hendak sampai ke destinasi sebenar maka wajib berpandukan Al Quran. Ini kerana, ia satu-satu nya teks yang paling tepat ke arah Syurga. Mengapa perlu ke Syurga? Adakah anda hidup selama 200 tahun atau selamanya? Kita semua sedia maklum mati itu pasti, dan akan tiba. Orang yang paling bijak di dunia bukan Bill Gates ataupun Mark Zuckerberg. Orang yang paling genius adalah orang yang sentiasa ingat akan mati !
  
   Al Quran juga merupakan saluran berita, menyediakan berita gembira pada mereka yang beriman pada Allah s.w.t. Yang hebatnya Al Quran, ia menceritakan berita yang terdahulu, dicampurkan berita untuk masa hadapan. Yang terdahulu itu cerita sejarah, sebagai pengajaran dan iktibar seperti mana kita belajar sejarah Malaysia yang pernah dijajah. Oleh itu, kita tidak perlu mengulangi kesilapan lalu. Berita untuk masa hadapan itu berita yang pasti dan benar tidak seperti berita ramalan cuaca di stesen televisyen. Namanya pun ramalan cuaca, bermakna itu adalah anggaran semata-mata dan ia mungkin berubah. Al Quran itu buku untuk Islam. Islam itu adalah cara hidup, bukan untuk Melayu tapi untuk semua manusia yang hidup ini, walaupun berlainan agama atau bangsa. Apabila ada buku mesti ada cikgu untuk ditanya sekiranya kurang faham akan sesuatu perkara. Maka guru besar itu tidak lain tidak bukan Nabi Muhammad s.a.w. Dari soal masuk tandas hinggalah ke urusan pentadbiran sesebuah negara diajar oleh Muhammad s.a.w.
  
  Oleh itu, bacalah Al Quran fokuskan pada maksudnya, lihat pada tafsirannya. Maka kita akan faham dan dapat menghayatinya dengan baik sepanjang hidup. Guru besar kita sudah pun wafat, pewarisnya adalah ulama. Justeru itu, marilah kita rujuk pada mereka untuk setiap aktiviti rutin hidup kita. Jika tidak faham, tanyalah mereka. Susah sangat ke?
  
   Sebagai penutup, saya tidak minta dijadikan sebagai orang Melayu kerana saya tidak tahu Allah s.w.t. mahu melahirkan saya sebagai orang Melayu. Jadi bagaimana saya mampu meminta, dilahirkan pun belum lagi. Atas dasar itu, saya bangga menjadi seorang Melayu, amat bersyukur dilahirkan sebagai seorang Islam.
Alhamdulillah..Secara peribadi, pada pandangan saya, Melayu itu tidak semestinya Islam dan seorang Islam itu tidak semestinya Melayu.

No comments:

Post a Comment